Untung #SayaZAHRA dapat cakap depan Muhyiddin, nasib saya berbeza - Siti Hajar
Nasib anak muda, Siti Azzahra Abd Razly atau dikenali sebagai #SayaZAHRA yang meluahkan perasaan di hadapan Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai kesengsaraan golongan muda dilihat lebih baik daripada seorang penasihat usahawan, Siti Hajar Aladin yang menghantar surat terbuka kepada Datuk Seri Najib Tun Razak mengenai isu yang hampir sama pada 2013.
Jelas Siti Hajar, kerana surat terbukanya kepada Perdana Menteri di laman Facebook, dia pernah ditemuramah sebuah stesen televisyen pada ketika itu namun program itu akhirnya digantung.
"Untung #SayaZAHRA. Dapat peluang bercakap depan Timbalan Perdana Menteri, jika saya dapat mikrofon, memang saya akan luah semuanya.
"Saya dahulu pernah dipanggil untuk ditemuramah dalam stesen televisyen untuk mengulas surat terbuka kepada Najib namun akhirnya program itu digantung," katanya kepada Astro AWANI di sini hari ini.
Luahan hatinya itu turut dicatat di laman Facebook miliknya.
Pada September 2013, Siti Hajar pernah membuat surat terbuka kepada Najib dan menyatakan keluhan hatinya mengenai Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) selain kenaikan harga minyak pada masa itu yang membebankannya.
"Kadang-kadang saya terfikir, apakah keistimewaan saya sebagai rakyat Malaysia? Adakah hanya sekadar penyumbang ekonomi negara tanpa mendapat sebarang kebaikan daripada negara sendiri? Gaji saya di dalam golongan pertengahan (RM3,000 – RM5,000).
"Saya tidak layak menerima BR1M malah saya juga di dalam kategori pembayar cukai kepada kerajaan. Golongan pendapatan pertengahan pada hari ini masih sukar untuk membeli rumah kerana kos sara hidup yang tinggi.
"Apakah keistimewaan kami yang mana suatu hari nanti bakal menerajui negara sendiri?," tanya Siti Hajar ketika dipetik dari surat terbukanya.
Bagaimanapun, nasib Siti Hajar berubah selepas menulis surat terbuka itu kerana kewujudan akaun Facebook klon miliknya yang menulis pelbagai catatan negatif yang menyentuh isu perkauman, negara termasuk hal melibatkan pasukan bola sepak yang boleh menimbulkan pelbagai tanggapan negatif masyarakat kepadanya.
Dia turut dimaki dan diancam bunuh kerana kewujudan Facebook klon itu.
Dia juga mendakwa semakin trauma selepas menerima jawapan menyedihkan daripada polis dan paling menyedihkan apabila Suruhanjaya Komunikasi Multimedia (SKMM) sendiri menyatakan kes itu di luar bidang kuasa mereka.
Zahra yang merupakan seorang graduan ijazah undang-undang dalam satu ucapan di hadapan Muhyiddin meluah nasib mengenai nasib golongan mula kini.
Luahan itu mendapat sokongan yang hebat daripada rakyat Malaysia kerana berucap tentang erti sebenar 'survival' bagi pihak golongan muda di negara ini.
Menurut Zahra, walaupun berpelajaran tinggi, tetapi kehidupan kebanyakan golongan muda di Malaysia masih lagi seperti ‘kais pagi makan pagi, kais petang makan petang' sambil mempersoal apakah nasib graduan jika ini berlarutan?
BACA: #SayaMaisarah
Bagaimanapun seorang warga kerja Astro AWANI di dalam artikel #SayaMaisarah turut memberikan hujahnya yang tersendiri dan memberikan beberapa cadangan mengatasi masalah kos kehidupan di ibu kota. - Astroawani
No comments:
Post a Comment