Friday, 24 July 2015

'Bersaralah...' Ucapan Hari Lahir Dari Tun M Kepada Najib

KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamed sekali lagi mengulangi desakannya agar Datuk Seri Mohd Najib Razak meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri.

"Saya harap dia bersara dengan aman dan menikmati persaraan itu," ucap Perdana Menteri Malaysia Ke-4 itu.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menghadiri majlis sambutan ulang tahun kelahirannya yang ke-90 di Hotel Berjaya Times Square, anjuran Tan Sri Vincent Tan yang juga Pengerusi Kumpulan Berjaya, malam tadi.

Ucapan 'sinis' Tun Mahathir atau Tun M itu diberikan sempena ulangtahun kelahiran Najib yang ke-62 baru-baru ini.

Najib menyambut ulang tahun kelahirannya pada 23 Julai, manakala Tun M pada 10 Julai yang lalu.

Mengulas mengenai harapan sempena ulangtahun kelahirannya, perdana menteri Malaysia paling lama itu hanya menjawab:  "Saya harap semua perkara berakhir secepat mungkin."

Tun M adalah antara individu yang lantang mengkritik pentadbiran Najib, susulan isu penyelewengan membabitkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan beberapa isu lain membabitkan Presiden Umno itu.

Malah ujar Tun M, Umno-Barisan Nasional bakal berhadapan dengan kekalahan dalam Pilihan Raya Umum akan datang sekiranya Najib masih enggan melepaskan jawatanya.

No comments:

Post a Comment

ad banner