Terdapat banyak faedah kepada ibu dan bayi apabila penyusuan bayi secara semulajadi diamalkan. Ibu disaran untuk menyusukan bayi sehingga bayi berusia sekurang-kurangnya 6 bulan tanpa makanan sampingan lain, tanpa susu formula dan tanpa diberi air biasa pun kepada bayi.
Susu ibu kaya dengan antibodi serta hormon-hormon yang mampu memberikan perlindungan kepada bayi daripada masalah usus (gastrousus), jangkitan pada pernafasan, jangkitan telinga, alahan makanan dan sebarang kerosakan.
“Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; Ibunya telah mengandungkannya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya), dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua ibubapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan).” (Surah Luqman: ayat 14)
Penemuan saintifik
Kajian terbaharu yang dijalankan oleh Profesor Catharina Svanborg, seorang pensyarah imunologi dari Universiti Lund, Sweeden, susu ibu membantu untuk mencegah bayi dari mendapat kanser.
“Zat yang disebut alpha-lac (alphalactalbumin), yang terdapat dalam jumlah yang besar di dalam susu ibu, mampu mengesan sel-sel kanser dan membunuhnya”.
Manusia berusaha untuk mencari penawar kanser dengan rawatan kimoterapi dan berbagai-bagai cara lain, namun Allah terlebih dahulu telah menunjukkan kepada kita cara untuk melawan penyakit berbahaya ini.
Satu lagi kajian yang dilakukan oleh James W. Anderson, ahli University Kentucky – IQ bayi yang diberi susu ibu lebih tinggi 5 kali ganda berbanding bayi lain. Susu ibu yang diberikan hingga 6 bulan bermanfaat kepada bayi, manakala anak yang disusui kurang dari 8 minggu tidak memberikan manfaat kepada IQ.
Untuk mereka yang bakal bergelar seorang ibu, fakta ini amat berguna bagi anda. Lihatlah bagaimana Al-Quran menerangkan kepada kita sebab untuk seseorang ibu menyusukan anaknya selama 2 tahun. Dan lihatlah bagaimana kajian saintifik membawa kepada kebenaran dan kebaikan yang dibawa Kalam Allah. Ini menunjukkan kepada kita bahawa Al-Quran mendahului penemuan saintifik sejak 1400 tahun yang lalu.
Tubuh seorang wanita yang menyusukan anak akan merembeskan sejenis oksitosin dimana hormon tersebut membantu mengecutkan rahim dan mengembalikan rahim ke bentuk asal. Ia juga membantu mengurangkan berat badan sehingga 500 atau lebih kalori sehari dengan aktiviti tersebut. Ia juga mengurangkan risiko terkena kanser payudara, pre-monopouse, kanser ovari dan osteoporosis.
Jika mampu memberi susu ibu kepada bayi secara natural, ianya lebih mudah. Tidak perlu membasuh botol-botol susu dan ianya boleh diberikan dimana-mana dan bila-bila masa.
Susu ibu dijadikan Allah khas untuk keperluan bayi dengan jumlah dan khasiat yang mencukupi. Ia mengandungi kuantiti yang paling tepat seperti nutrien, protein, lemak dan karbohidrat untuk bayi.
Tiada susu yang setanding susu ibu untuk diberikan kepada bayi. Jika penyusuan dilakukan secara natural, ia juga mampu mengeratkan hubungan antara ibu dan anak. Ini kerana sentuhan kulit dan rangsangan tersebut turut dirasai bayi.
Di dalam Islam ada menyatakan bahawa betapa besarnya pahala seorang ibu yang menyusukan anaknya. Ia menyebut bahawa demi kesihatan anak, ibu hendaklah menyusukan anak dengan susu ibu.
Sejajar dengan firman Allah di dalam Al-Quran Surah Al-Bakarah Ayat 233 yang bermaksud: “Para ibu hendaklah menyusukan anak-anaknya selama dua tahun penuh, iaitu bagi yang ingin menyempurnakan penyusuan”.
Imam Syafie berkata, “Sihat atau tidak anak itu bergantung, sama ada anak disusui ibu atau tidak walau ibu susuan sekalipun”.
No comments:
Post a Comment