IPOH - Sudahlah diperkosa, kini dia diugut pula video intim mereka akan disebarkan jika tidak melayani kehendak nafsu seorang lelaki warga Bangladesh yang baru dikenalinya dua tahun lalu semasa bekerja di kilang pemborong sayur, Simpang Pulai.
Lily, seorang kerani berusia 21 tahun, mendakwa dia telah di oleh Anwar, 27, pada 30 Ogos lalu, pada waktu tengah hari setelah diberikan air yang tidak diketahui kandungannya itu.
"Hubungan kami seperti rakan sekerja yang lain. Tetapi detik hitam itu bermula pada 30 Ogos lalu pada jam 12 tengah hari. Anwar mengajak saya keluar minum di Gopeng. Tidak lama selepas itu, saya rasa pening dan terus tidak sedarkan diri.
"Apabila sedar, saya terkejut yang diri saya berada dalam keadaan tanpa seurat benang di sebuah bilik hotel. Hotel itu berada di sebelah kedai tempat kami minum. Anwar juga ada di dalam bilik itu dan dia mengugut akan menyebarkan video intim kami yang dirakam menggunakan telefon bimbit," katanya.
"Selepas kejadian itu, Anwar selalu menghubungi saya setiap hari dan memaksa saya melayani nafsunya jika tidak mahu video itu tersebar. Sepanjang tempoh itu, saya dipaksa melayan nafsunya dia sebanyak lima kali dan kali terakhir pada 25 September lalu di sebuah hotel bajet di Simpang Pulai.
"Saya sudah tidak tahan dan saya beritahu perkara ini kepada teman lelaki saya dan dia menasihatkan saya membuat laporan polis. Atas nasihatnya itu, saya membuat laporan di Balai Polis Bercham, Sabtu lalu," katanya yang turut menjalani pemeriksaan di Hospital Raja Permaisuri Bainun pada hari yang sama.
Susulan mangsa membuat laporan polis, suspek telah ditangkap oleh 20 anggota Skim Rondaan Sukarelawan (SRS) Bercham dan diserahkan kepada polis.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Sum Chang Keong mengesahkan menerima laporan berkenaan dan akan menjalankan siasatan.
by noreply@blogger.com (Romi Rizuan) via masalah dunia
No comments:
Post a Comment