Wednesday, 30 September 2015

Hutang 1MDB Boleh Mansuhkan Hutang PTPTN - Rafizi Ramli

Hutang 1MDB Boleh Mansuhkan Hutang PTPTN - Rafizi Ramli


Hutang syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berjumlah RM42 bilion didakwa boleh memansuhkan hutang yang ditanggung oleh 1.7 juta peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Kata ini dilontarkan oleh Rafizi Ramli sambil menegaskan kerajaan hanya memerlukan peruntukan sebanyak RM6 bilion setahun bagi tujuan itu dan melaksanakan dasar pendidikan percuma.

Ini kata Rafizi:

"Jumlah hutang tertunggak oleh peminjam PTPTN setakat 31 Mac 2015 adalah RM13.3 bilion melibatkan 1,716,475 peminjam seperti jawapan Timbalan Menteri Pendidikan, P.Kamalanathan kepada Parlimen baru-baru ini."

"Jumlah RM13.3 bilion hanyalah sebahagian kecil dari sumber kewangan berjumlah RM50 bilion yang telah dialihkan kepada 1MDB," 

Rafizi telah mengulas kenyataan dari Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam sesi dialog dengan pelajar-pelajar Malaysia di Amerika Syarikat, semalam bahawa pendidikan percuma dan pemansuhan hutang PTPTN hanya dapat dibuat sekiranya rakyat sanggup membayar cukai pendapatan yang lebih tinggi.

Rafizi menambah, berdasarkan kadar tukaran mata wang ringgit yang merudum, hutang 1MDB pada masa ini sudah mencecah RM50 bilion, manakala belanjawan syarikat itu mencecah RM5.8 bilion dalam tempoh tiga tahun.

"Jumlah itu adalah hampir kepada RM2 bilion setiap tahun; iaitu jumlah yang diperlukan untuk memansuhkan terus hutang PTPTN.

"Kerajaan sebenarnya mampu untuk memansuhkan hutang PTPTN dan menyediakan pendidikan percuma sekiranya kekayaan negara disalurkan bagi membina sistem pendidikan yang terbaik, bukannya dibazirkan di dalam projek-projek yang berakhir menjadi skandal seperti 1MDB," 

Sehubungan itu, beliau berharap rakyat Malaysia perlu menyedari bahawa dasar pendidikan percuma dan pemansuhan PTPTN dapat dilaksanakan tanpa menaikkan cukai.

INI TULISAN PENUH DARI RAFIZI:

Semalam Najib Razak ungkit kalau mahukan pendidikan percuma, perlu naikkan cukai. Dia terlupa bahawa kos melaksanakan pendidikan percuma dan mansuh PTPTN hanyalah RM6 bilion setahun untuk jutaan rakyat, sedangkan 1MDB telah telan RM50 bilion hanya untuk beberapa kerat. Mohon sebarkan kenyataan saya bagaimana negara sebenarnya mampu hapuskan PTPTN dan sediakan pendidikan percuma.

TANGGUNGAN HUTANG 1MDB BOLEH MANSUHKAN HUTANG PTPTN BAGI 1.7 JUTA PEMINJAM

Saya merujuk kepada laporan mengenai dialog Dato’ Seri Najib Tun Razak dengan pelajar-pelajar Malaysia di Amerika Syarikat yang antara lainnya memetik kenyataan beliau bahawa pendidikan percuma dan pemansuhan hutang PTPTN hanya dapat dibuat sekiranya rakyat sanggup membayar cukai pendapatan yang lebih tinggi.

Visi pendidikan percuma yang merangkumi pemansuhan hutang PTPTN dan rombakan semula pembiayaan pendidikan tinggi negara adalah salah satu lontaran idea oleh Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang menjadi isu hangat menjelang Pilihanraya Umum ke-13 (PRU13) yang lalu.

Sebagai seorang aktivis pendidikan percuma dan pemansuhan hutang PTPTN, saya telah mengutarakan beberapa kaedah dan kos bagaimana dasar ini boleh dilaksanakan, iaitu:

1. Hutang yang diambil oleh PTPTN boleh dibayar secara ansuran sebanyak RM2 bilion setiap tahun
2. Pemansuhan yuran di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) bagi kesemua pelajar IPTA (dianggarkan 470,000 bagi tahun 2013) dianggarkan RM791 juta setiap tahun
3. Kos menyediakan elaun sara hidup bagi 400,000 pelajar IPTA dan 150,000 pelajar IPTS dianggarkan RM2.75 bilion setahun
4. Kos menyediakan satu tabung pinjaman pendidikan IPTS tanpa faedah sebanyak RM450 juta setahun

Oleh yang demikian, saya yakin dasar pendidikan percuma dan pemansuhan hutang PTPTN dapat dilaksanakan dengan peruntukan RM6 bilion setahun oleh kerajaan bagi tujuan ini. Selepas 2 tahun Barisan Nasional meneruskan pentadbiran di Putrajaya sejak PRU13, rakyat telah menyaksikan pelbagai skandal besar yang melibatkan dana rakyat terutamanya 1MDB. Mengambil kira kadar tukaran matawang yang merudum dan faedah, saya menganggarkan hutang terkini 1MDB sudah mencecah RM50 bilion.

Hutang RM50 bilion ini besar kemungkinan akan ditanggung oleh kerajaan memandangkan 1MDB terus terperangkap dengan kemelut kewangannya yang tidak berkesudahan. Sekiranya sumber kewangan negara tidak dialihkan kepada 1MDB, jumlah yang diberikan kepada 1MDB lebih dari cukup untuk membiayai dasar pendidikan percuma dan memansuhkan hutang PTPTN seperti berikut:

1. Jumlah hutang tertunggak oleh peminjam PTPTN setakat 31 Mac 2015 adalah RM13.3 bilion melibatkan 1,716,475 peminjam seperti jawapan Timbalan Menteri Pendidikan, P Kamalanathan kepada Parlimen baru-baru ini. Jumlah RM13.3 bilion hanyalah sebahagian kecil dari sumber kewangan berjumlah RM50 bilion yang telah dialihkan kepada 1MDB;

2. Belanja kewangan 1MDB yang mencecah RM5.8 bilion dalam tempoh 3 tahun (seperti dilaporkan oleh 1MDB dalam jawapannya mengenai ke mana wang telah dibelanjakan) adalah hampir kepada jumlah RM2 bilion setiap tahun; iaitu jumlah yang diperlukan untuk memansuhkan terus hutang PTPTN

Oleh sebab itu, skandal 1MDB yang terbongkar setakat ini memberi gambaran jelas bahawa kerajaan sebenarnya mampu untuk memansuhkan hutang PTPTN dan menyediakan pendidikan percuma sekiranya kekayaan negara disalurkan bagi membina sistem pendidikan yang terbaik, bukannya dibazirkan di dalam projek-projek yang berakhir menjadi skandal seperti 1MDB. 

Malah, saya yakin sekiranya tanah-tanah kerajaan di Jalan Tun Razak dan Sungai Besi yang dianugerahkan kepada 1MDB diserahkan kepada satu tabung pendidikan untuk dimajukan, hasil pelaburan itu akan dapat membangunkan jutaan rakyat Malaysia menjadi modal insan kepada negara di masa hadapan.

Saya berharap rakyat Malaysia semakin membuka mata dan menyedari bahawa dasar pendidikan percuma dan pemansuhan PTPTN dapat dilaksanakan tanpa menaikkan cukai seperti yang diwar-warkan oleh Dato’ Seri Najib Tun Razak.

RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
AHLI PARLIMEN PANDAN

No comments:

Post a Comment

ad banner