Thursday, 20 August 2015

Saya tidak akan berpaling tadah terhadap Tun Mahathir - Abdul Hamid Bador

Saya tidak akan berpaling tadah terhadap Tun Mahathir - Abdul Hamid Bador
ABDUL HAMID: Meskipun saya dikerat 12, tidak mungkin saya memfitnah seorang hamba Allah yang banyak menyumbang kepada negara. 
KUALA LUMPUR: Datuk Abdul Hamid Bador berkata beliau tidak akan sekali-kali berpaling tadah terhadap Tun Dr Mahathir Mohamad, meskipun ‘dikerat-kerat’.

The Malay Mail Online dalam laporannya malam ini berkata Bekas Timbalan Pengarah Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu yang ditukarkan ke Jabatan Perdana Menteri pada Rabu secara tiba-tiba, menafikan laporan media sosial yang beliau akan membuat laporan terhadap bekas perdana menteri itu.

Awal hari ini, satu pesanan teks telah tersebar di aplikasi WhatsApp mendakwa Abdul Hamid akan mengadakan sidang media di Bukit Aman selepas sembahyang Jumaat esok untuk “menjelaskan  pembabitan Dr Mahathir dalam mengubah suai dan memalsukan dokumen berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) untuk menyerang dan menjatuhkan Perdana Menteri” (Datuk Seri Najib Razak).

Pesanan teks terbabit juga mendakwa Abdul Hamid akan kemudiannya membuat laporan polis bersama “semua bukti” agar Dr Mahathir boleh didakwa di bawah seksyen 124 Kanun Keseksaan bersama pengasas dan editor Sarawak Report, Clare Rewcastle Brown.

“Meskipun saya dikerat 12, tidak mungkin saya memfitnah seorang hamba Allah yang banyak menyumbang kepada negara,” kata Abdul Hamid seperti dilapor The Malay Mail Online.

Semalam Malaysiakini melaporkan yang Abdul Hamid telah meletakkan jawatan di Cawangan Khas Polis selepas menerima surat perpindahan.

Beliau yang sudah berkhidmat selama 37 tahun dengan Polis Diraja Malaysia bagaimanapun mendakwa dia tidak mengetahui alasan perpindahan itu.
 
Perpindahan terbabit turut disahkan oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar. Abdul Hamid yang kini sedang bercuti akan memulakan tugas barunya sebagai Timbalan Pengarah Isu-Isu Keselamatan dan Transnasional (SIS) di JPM pada 2 September ini.

No comments:

Post a Comment

ad banner