Sunday, 23 August 2015
Orang Melayu akan terbangsat jika UMNO hilang kuasa - Najib (VIDEO)
KANGAR: Orang Melayu akan bangsat jika UMNO hilang kuasa, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Presiden UMNO itu berkata oleh yang demikian, anggota UMNO wajib mempertahankan parti yang menerajui kepimpinan negara itu.
"Saya pernah kata bahawa seandainya UMNO hilang kuasa, apa akan terjadi kepada bangsa Melayu dan umat Islam?
"Dalam banyak-banyak perkataan dalam Kamus Dewan Bahasa, ada orang kata, orang Melayu akan tersungkur, orang Melayu akan terkecundang dan ada yang kata orang Melayu akan tertiarap," katanya.
Najib berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian berkelompok persidangan perwakilan UMNO Bahagian Padang Besar, Kangar dan Arau di Dewan Wawasan 2020 di sini, hari ini.
Menjelas lanjut mengenai perkara itu, Najib berkata beliau memilih perkataan bangsat kerana tidak ada perkataan lain yang boleh menggambarkan keadaan orang Melayu, yang akan cukup tertekan jika UMNO hilang kuasa.
"Saya pilih perkataan orang Melayu akan terbangsat kalau UMNO hilang kuasa. Terbangsat...tidak ada perkataan yang boleh menggambarkan untung nasib yang cukup tertekan, hilang segala-galanya, hilang kuasa, hilang maruah dan hilang masa depan," katanya.
Oleh itu, katanya segala permasalahan yang berlaku dalam parti perlu diselesaikan bagi memastikan UMNO kekal berkuasa.
"Kalau ada masalah, cari penyelesaian, sama ada peringkat nasional, peringkat negeri, takkan tidak ada penyelesaian," katanya.
Katanya pelbagai dugaan dan masalah pernah dilalui parti itu sebelum ini, dan ia berjaya diselesaikan.
"Pengasas UMNO keluar UMNO dan tubuh parti lain, biro agama keluar dan tubuh parti PAS, UMNO diharamkan, presiden UMNO berlawan dan menang 41 undi sahaja, krisis kewangan 1997, zaman konfrontasi, komunis dan bermacam-macam...tapi kita berjaya melepasi daripada krisis-krisis tersebut," katanya.
Najib berkata dengan adanya penyatuan dalam parti, tidak ada sebab UMNO tidak boleh kekal sebagai parti yang memerintah.
"Sebagai sebuah parti, kita harungi lautan yang terbentang luas, adakala bergelora dan adakala dipukul badai.
"Bahtera UMNO sebenarnya kuat dan telah diuji sekian lama dan telah banyak berjasa mengubah landskap politik, ekonomi dan sosial sehingga dunia menganggap Malaysia di bawah UMNO sebagai sebuah negara model dan berjaya," katanya. - Astro Awani
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment