Saturday, 30 May 2015

Tolong Selamatkan Gadis Ini !!

AYER HITAM – Keluarga seorang remaja yang menghilangkan diri kelmarin di Ayer Hitam, Johor , sanggup pulang ke Bachok, Kelantan sekiranya keputusan itu akan melembutkan hati anak kedua daripada tujuh beradik untuk pulang ke pangkuan keluarga.

Nurfadzillah Milatusshamsi, 17, seorang pelajar cemerlang, sempat menghantar adiknya, Muhammad Asyraf, 13, ke Sekolah Menengah Kebangsaan (F) Lui Barat sebelum bertindak melarikan diri.

Ibu remaja berkenaan, Siti Zaleha Ibrahim, 44, berkata, anaknya juga menunjukkan sepasang pakaian dalam beg galasnya kepada Muhammad Asyraf dan memberitahu dia ingin melarikan diri namun tidak diendahkan.

“Adiknya tidaklah mengambil serius perkara itu namun tidak sangka kakaknya tekad untuk melarikan diri. Tiah (gelaran kepada Nurfadzillah) meninggalkan motosikalnya dekat kedai dan saya terkejut apabila melihat motosikal Tiah di situ, kerana saya berpendapat Tiah ponteng sekolah.

“Namun sekitar jam 8.28 pagi saya menerima pesanan ringkas daripadanya, yang memberitahu dia ingin mencari ketenangan dengan mencari Allah SWT, selain dia rasa dirinya kosong,” katanya.

Nurfadzillah sebelum ini kehilangan ayahnya, Milatusshamsi Wagidun, 43, yang meninggal dunia akibat jangkitan paru-paru pada awal Januari lalu.

Siti Zaleha berkata, akibat pemergian ayahnya itu, anaknya sering mengalami kemurungan selain terpaksa berpindah sekolah dari Sekolah Menengah Sains Tuanku Jaafar, Kuala Pilah ke SMK (F) Lui Barat, Jempol.

“Jika pulang ke kampung halaman (Kelantan) dapat menenangkan dia, kami sekeluarga sanggup berpindah ke sana, mungkin dia masih tidak dapat menerima kenyataan bahawa ayahnya sudah tiada susulan dia rapat dengan arwah,” katanya.

Tambah Zaleha, dia menghubungi Tiah dan dapat bercakap dengannya seketika, difahamkan Tiah kini berada di Johor dan dia teruja apabila Zaleha mengajaknya pulang ke Kelantan.

“ Orang ramai yang menjumpai Tiah, diminta segera menghubungi saya di talian 017-301 3732 kerana kami sekeluarga bimbang akan keselamatannya,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Jempol, Superintenden Hamzah Alias ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berkenaan.

-Sinar harian

No comments:

Post a Comment

ad banner