Tuesday, 12 May 2015
Malam keajaiban cinta: Rossa pilih Joe Flizzow
TIDAK disangka, impian yang selama ini dipendam untuk mengadakan konsert solo di pentas bertaraf dunia, Istana Budaya (IB) akhirnya akan tercapai.
Impian penyanyi genit dari seberang, Datuk Rossa itu sememangnya telah lama dinantikan dan segalanya bakal menjadi kenyataan apabila dia akan mengadakan konsert Malam Keajaiban Cinta Bersama Rossa pada 22 dan 23 Mei ini,
Tidak tampil sendiri, Rossa berkata, dia akan kerjasamanya dengan penyanyi rap terkenal, Joe Flizzow.
Katanya, perkenalannya dengan penyanyi rap itu membuatkan dia mahu bergandingan bersama-sama dalam beberapa lagu pada konsert itu.
"Joe satu-satunya saya terfikir nak kerjasama kerana belum berkesempatan bernyanyi dengannya, kerana dia istimewa.
"Dia sahabat saya, kami sudah kenal antara satu sama lain, dari dulu sehingga sekarang selalu berhubung. Malah, dia juga penyanyi rap terbaik di Malaysia dan Indonesia," katanya ketika ditemui pada sidang media Malam Keajaiban Cinta Bersama Datuk Rossa, kelmarin.
Lebih menarik, persembahan Rossa turut menampilkan dua penyanyi istimewa pilihan penyanyi genit itu.
"Siapa dua penyanyi tersebut biarlah rahsia. Apa yang pasti kedua-dua penyanyi itu tidak tampil pada malam yang sama," jelasnya.
Bercerita lanjut mengenai tawaran membuat persembahan di pentas IB yang diberikan ole Ketua Pengarah IB, Datuk Mohamed Juhari Shaarani kepadanya, Rossa mengibaratkan tawaran itu seperti bulan jatuh ke riba.
"Dua bulan lalu, Datuk Juhari menghubungi saya dan bertanyakan sama ada mahu untuk membuat konsert di IB ataupun tidak.
"Saya tidak tahu untuk mengatakan apa ketika itu, ya atau tidak. Ya kerana memang saya berkeinginannya dan tidak pula kerana mempunyai alasan. Akhirnya saya bersetuju," katanya.
Rossa yang terkenal dengan lagu Ayat-Ayat Cinta ini memberitahu, sebelum ini memang dia pernah membuat persembahan di pentas terkemuka itu pada Konsert Nusantara tetapi hanya berkesempatan menyanyikan dua buah lagu.
"Kini, apabila diberi kepercayaan melakukan konsert sulung selama dua hari di pentas IB, saya sangat bersyukur dan berbangga.
"Tambahan IB merupakan kawasan strategik yang ramai penyanyi mahukan buat konsert di sana.
"Kini saya diberitahu, saya merupakan penyanyi wanita Indonesia pertama membawa konsep tunggal untuk dua malam itu nanti," katanya.
Berkongsi mengenai kelainan akan dijayakan pada konsert sulungnya di pentas IB, kata ibu tunggal ini, dia akan mengetengahkan persembahan yang belum pernah ditonjolkan pada konsertnya sebelum ini.
"Saya mahu buat apa yang belum pernah saya lakukan baik di Indonesia atau di Malaysia. Saya akan gunakan teknologi terkini pada konsert itu nanti.
"Sebenarnya saya mempunyai banyak angan-angan dan mimpi indah untuk membuat satu kelainan pada persembahan saya.
"Dan salah satunya akan wujudkan persembahan menggunakan teknologi baru, perkara ini telah kami bincangkan bersama produksi dan insya-ALLAH diharap semua akan berjalan lancar," katanya yang akan turut menyanyikan dua lagu bersama Joe Flizzow.
Debaran Rossa semakin rancak
Berkongsi persediaannya yang hanya berbaki sembilan hari lagi, Rossa atau nama sebenarnya Sri Rossa Roslaina Handayani memberitahu, pastinya dia berdebar menanti hari konsert tersebut.
"Kini, saya dan kumpulan produksi dari Indonesia yang sudah bersama sejak konsert 2008 sedang berlatih untuk menjayakan konsert tersebut, mereka punyai pengalaman dengan saya dan mudah menguruskan segalanya.
"Mudah-mudahan kami akan membuat pertunjukan eksklusif dan meninggalkan memori indah kepada penonton," katanya.
Istimewanya, kata Rossa, untuk memberi kelainan dalam persembahannya, dia akan menyampaikan beberapa lagu tradisional Indonesia dan Malaysia dengan iringan Orkestra Tradisional Malaysia (OTM).
"Saya pertama kali akan menyanyikan lagu tradisional dari dua negara ini bersama orkestra IB. Ada juga lagu dari (Allahyarham) Tan Sri P. Ramlee.
"Persembahan ini juga bersempena sambutan Hari Ibu, dan menjadikan ia khas untuk ibu-ibu tercinta," katanya.
Mengulas lanjut mengenai pemilihan lagu akan dibawa pada persembahan dua hari itu, kata Rossa, lebih 20 lagu akan dinyanyikan.
"Pemilihan lagu dah dibuat, hampir semua lagu hits, saya akan nyanyikan dan ada juga senarai lagu yang diberikan peminat untuk saya nyanyikan. Jika tidak nyanyikan mereka mungkin akan marah saya dan begitu sebaliknya," jelasnya.
Pastinya konsert sulung Rossa ini akan mendapat sambutan hangat apabila jualan tiket setelah hampir tiga minggu dijual, mencecah 80 peratus jualan.
"Alhamdulillah, pasti saya suka sangat jualan laku hampir dua minggu lebih dibuka untuk jualan tiket dan diberitahu kini sudah 75 peratus terjual dan tinggal sikit lagi.
"Diharap jualan tiket akan habis menjelang beberapa hari konsert. Saya berterima kasih kepada peminat dan pencinta Rossa,” katanya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment