KUALA NERANG – Usianya kini mencecah 101 tahun, namun naluri sebagai ibu menyebabkan dia tidak pernah mengeluh atau patah semangat untuk terus memelihara anak lelaki bongsunya yang merupakan Orang Kurang Upaya (OKU) sejak 63 tahun lalu.
Malah, warga emas Meliah Md Diah dari Kampung Bukit Nambua di sini bertekad untuk terus menjaga anaknya Abdul Rahman Saud, 63, yang tidak boleh bercakap, berjalan dan bergerak secara normal sehingga ke penghujung nyawanya.
“Tak rasa beban nak jaga dia (Abd Rahman). Dari dulu lagi mandi, makan, pakai baju semua tok (Meliah) buat. Kalau boleh nak jaga dia sampai bila-bila. Sayang dekat dialah… tak mau pi (pergi) mana-mana nak dok (duduk) dengan dia sajalah,” katanya kepada Bernama hari ini.
Doa sentiasa dipanjatkannya kepada Allah S.W.T supaya terus dikurniakan kesihatan yang baik dan dipanjangkan umur supaya berkemampuan untuk menjaga sendiri anak kesayangannya itu.
Menurut Meliah, sebagai seorang ibu, dia tidak pernah menyesali nasib yang menimpanya dalam menjaga anaknya yang tidak sempurna seperti orang lain, sebaliknya tetap bersyukur dengan kurniaan dan dugaan yang melanda.
Cucu saudara Meliah, Siti Jaleha Yunus, 59, berkata kisah hidup nenek saudaranya itu perlu dijadikan teladan kepada masyarakat supaya mereka tidak mengabaikan tanggungjawab terhadap ibu.
Katanya walaupun tahap ingatan nenek saudaranya itu semakin lemah disebabkan faktor usia, dia tidak pernah lupa nama anaknya serta aktiviti rutin harian yang dilakukan bersama anaknya itu.
“Kalau masa hendak makan dia akan panggil anaknya makan pada waktu pagi, tengah hari dan malam. Sama juga waktu mandi dia akan bawa anaknya mandi. Dia tak pernah lupa anaknya,” katanya.
Siti Jaleha berkata dia bersama saudara yang lain sering memantau Meliah dalam pelbagai perkara termasuk menguruskan Abdul Rahman, serta menyediakan makanan kepadanya kerana Meliah tidak lagi memasak seperti sebelum ini.
Dia berkata suami Meliah bernama Saud, meninggal dunia lebih 20 tahun lepas, manakala tiga anaknya iaitu dua lelaki dan seorang perempuan pula meninggal dunia pada usia muda.
Beliau berkata nenek saudaranya itu tidak mempunyai sebarang pendapatan dan bergantung kepada bantuan bulanan RM450 daripada Jabatan Zakat Negeri Kedah dan RM300 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat. – BERNAMA
No comments:
Post a Comment