Perdana Menteri berkata, me­ne­rusi BR1M, kerajaan berharap dapat meringankan beban rakyat dalam menangani kenaikan kos sara hidup termasuk ekoran pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST).
‘‘BR1M untuk membantu golong­an susah dengan memindahkan sebahagian kekayaan negara untuk jangka pendek. Dulu (jumlahnya) RM650 setahun, sekarang RM950 dengan mengambil kira kenaikan kos hidup kerana GST supaya dapat menampung belanja keperluan dapur dan anak-anak.
‘‘Bukan bererti kita jadi malas. Saya nak tanya berapa ramai terima BRIM? Apakah BR1M menjadikan tuan-tuan dan puan-puan malas? Siapa tak nak BR1M boleh pulang balik dan kalau ramai tak nak saya boleh mansuhkan BR1M tetapi niat hati kerajaan ialah untuk menolong rakyat dan BR1M ini juga bukan nak beli undi dan maksud politik tapi untuk tolong rakyat,’’ tegas beliau sambil menerima tepukan gemuruh daripada kira-kira 15,000 orang yang menghadiri Majlis Penyerahan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Melana Indah Fasa 1, di sini hari ini.
Penjelasan Perdana Menteri itu bagi menjawab kritikan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang tidak bersetuju dengan BR1M dan menyifatkannya menjadikan rakyat malas.
Yang turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nor­din; Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan; Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Wee Ka Siong; Timbalan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Halimah Sadique; Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Ke­rajaan Tempatan negeri, Datuk Abd. Latif Bandi dan Ahli Parlimen Pulai, Datuk Nur Jazlan Mohamed.
Najib menjelaskan, pemberian BR1M bukan cadangan beliau, tetapi cadangan Jawatankuasa Fiskal dan Bank Negara untuk membantu 40 peratus rakyat berpendapatan rendah.
‘‘Kita naikkan harga minyak (se­bab) kita nak kurangkan subsidi. Apabila harga minyak rendah, siapa untung? Penduduk untung tetapi ada ketirisan. Jadi, bila bagi BR1M, kita bagi kepada golongan yang betul dan tiada ketirisan,’’ katanya.
Perdana Menteri berkata, pro­jek perumahan rakyat (PPR) ju­ga merupakan antara dasar pemin­dahan kekayaan kepada rakyat dalam usaha berterusan kerajaan memperjuangkan keperluan ekono­mi rakyat.
Menurutnya, perumahan sentiasa menjadi keutamaan beliau sejak mula menjadi anggota pentadbiran hingga sekarang kerana kediaman bukan sekadar bumbung tempat berteduh, malah memberi 1,001 rahmat.
‘‘Sebab itu perumahan mampu milik dijadikan keutamaan antara yang tertinggi dan akan terus diperjuangkan seperti yang tertera dalam manifesto Pilihan Raya Umum Ke-13. Apatah lagi dengan skim seperti PPR, kalau kita tidak mampu memilikinya, boleh disewa dengan kadar begitu rendah.
‘‘Kalau kita memiliki rumah yang akan atau telah siap, fasa pertama di sini umpamanya, nilai yang dijual pada harga RM35,000. Kos sebenarnya secara keseluruhan RM100,000, sudah untung tiga kali ganda dan dalam beberapa tahun tentu sekali akan meningkat dalam sekelip mata dan inilah yang kita katakan satu dasar di mana kita boleh memindahkan kekayaan negara kepada rakyat,’’ katanya.
Mengenai GST, Najib menjelaskan, kebaikan cukai baharu itu akan dapat dilihat terutamanya menerusi pertambahan hasil dalam Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK-11) yang bermula tahun depan.
‘‘Kalau kita (negara) tambah hasil, saya akan bentang dalam Belanjawan negara supaya rakyat tahu apa hasilnya. Sudah 160 negara telah melaksanakannya dan tanpa GST, ramai orang akan mengelak daripada membayar cukai. Jadi, janganlah kita dengar hasutan pelbagai pihak,’’ katanya sambil memberi jaminan kerajaan akan memperbaiki pelaksanaan cukai tersebut dari semasa ke semasa.